Sabtu, 27 Februari 2010

Menghayati Akhlak Rasulullah SAW

Memperingati hari keputeraan Rasulullah s.a.w adalah suatu amalan yang baik yang sepatutnya diamal dan diteruskan oleh sekuruh umat Islam. Membesarkan sambutan maulidurrasul samalah seperti membesarkan Islam keran Rasulullah s.a.w umpama simbol bagi agama islam.

Imam Mutawalli Sha'rawi telah menulis didalam kitabnya, Ma' idat al-Fikr al-Islamiah, "jika setiap makhluk yang dijadikan bergembira dengan kelahiran baginda dan sekalian tumbuh-tumbuhan, binatang, malaikat serta jin islam bergembira diatas kelahiran baginda, kenapa kamu menghalang kami daripada bergembira dengan kelahiran baginda"

Meraikan Maulidurrasul bukan sahaja terhad pada 12 Rabiulawal tetapi patut dilakukan pada setiap hari dalam kehidupan kita. Tujuan kita menyambut Maulidurrasul adalah mengingatka umat islam mengenai kelahiran dan perjuangan serta akhlak baginda yang mulia, cara baginda beribadah dan cara baginda bergaul dengan orang ramai.Cara ini boleh memupuk rasa cinta dan sayang kepada sunnah baginda.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran, ayat 31 yang bermaksud "Katakanlah (wahai Muhammad) jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutlah aku, nescaya Allah mencintai kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu, (ingatlah) Allah maha pengampum."

Sambutan Maulidul Rasul merupakan natijah perasaan kecintaan terhadap Rasulullah SAW, perasaan taat kepada baginda, sentiasa mengingati baginda, mencontohi baginda dan berbangga dengan baginda sebagaimana Allah bangga terhadap baginda kerana Allah memuji baginda di dalam Al-Quran.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Qalam, ayat 4 yang bermaksud : "Dan sesungguhnya engkau benar-benar mempunyai akhlak yang mulia."


Ibn Kathir menggalakkan sambutan Maulid Rasul dengan berkata, "Malam kelahiran Nabi SAW merupakan malam yang mulia, utama, dan malam yang diberkati serta malam yang suci, malam yang menggembirakan bagi kaum mukmin, malam yang bercahaya, terang benderang, bersinar-sinar dan malam yang tidak ternilai."

Kunci utama kearah pembentukan akhlak yang mulia hasil daripada mempraktika sifat-sifat yang wajib bagi rasul iaitu:

  1. Siddiq - benar dalam semua perkataan dan perbuatannya.
  2. Amanah - jujur dan dipercayai.
  3. Tabligh - menyebarkan dan menerangkan apa jua wahyu yang diterimanya dari Allah SWT .
  4. Fatanah - cerdik, bijaksana, pandai dan cerdas.
Itulah sifat-sifat yang menjadi kunci kejayaan baginda Rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah Islamiah ke seluruh dunia. Sifat inilah yang sepatutnya menjadi tunggak umat Islam jika mahu berjaya dan disegani serta dihormati. Kita lihat kejujuran dan sifat amanah Rasulullah sehingga baginda digelar Al-Amin iaitu arang yang dipercayai.

Rasulullah SAW diutuskan ke dunia ini untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Sabda baginda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud ; "Sesungguhnya aku ini diutuskan untuk menyempurnakan kemulian akhlak".

Perlu disedari buruk akhlak itu merugikan dan menjadi racun yang membunuh, memalukan, dan menandakan moral yang rendah, bahkan sebagai penyebab jauhnya manusia dari rahmat Allah SWT. Marilah kita membuang sifat-sifat buruk yang ada dalam diri kita dan menggantikannya dengan sifat baik dan terpuji. Jika kita seorang yang bakhil gantikanlah dengan bermurah hati, jika kita seorang yang sombong jadilah seorang yang merendah diri, jika kita seorang pendendam jadilah seorang yang pemaaf, begitulah seterusnya.

Ayuh! marilah kita meneladani akhlak mulia Rasulullah SAW dengan sebaik-baiknya, baik zahir mahupun batin, ibadat-ibadatnya dan amal-amal salihnya, percakapan atau perbuatannya dalam apa jua hal dan keadaan. Semoga kita menjadi umat pilihan.

Dipetik daripada Mimbar Jumaat terbitan 26 feb 2010 oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan