Sabtu, 20 Februari 2010

Menjauhkan Diri Daripada Perkara Khurafat

Khurafat maksudnya kepercayaan karut marut yang sengaja direka-reka, bertujuan untuk membentuk satu keyakinan akan berlakunya perkara baik atau buruk terhadap sesuatu kerja yang dilakukan. Perkara baik atau buruk yang dijangka akan berlaku tersebut berpandukan kepada sesuatu kejadian alam atau peristiwa atau juga perbuatan dengan cara mentafsirkan kejadian tersebut boleh membawa bala bencana atau tuah dan keberuntungan kepada seseorang, keluarga atau masyarakat.

Masyarakat jahilliah adalah masyarakat yang berpegang kepada budaya dan kepercayaan khurafat. Mereka percaya kepada pergerakan burung dalam melaksakan tugas atau kerja. Pada mereka arah burung yang bertentangan boleh memberikan kesan kepada nasib mereka, khasnya ketika mahu bermusafir. Mereka mentafsirkan pergerakan arah burung yang bertebangan sama ada menghala ke arah kanan, kiri, hadapan atau belakang dan menamakannya dengan istilah yang memberi makan tuah atau sial. Mereka tidak akan melakukan tugas tersebut sekiranya arah burung yang bertebangan itu boleh mendatangkan sial dan bencana. Mereka juga percaya sekiranya burung hantu hinggap di salah sebuah rumah menandakan bahawa salah seorang penghuni rumah tersebut akan ditimpa bencana yang membawa kepada kematian.

Dalam masyarakat kita hari ini amalan khurafat juga diamalkan oleh sebilangan kecil umat islam, kadang-kadang amalan khurafat ini diselitkan juga dalam adat. Antara perkara khurafat yang diamalakan ialah ilmuilmu kebatinan, mereka menganggap bahawa mahaguru dengan ilmu kebatinan mampu mempertahankan diri dan tidak boleh dikalahkan serta mempunyai ilmu kebatinan dan kekebalan yang luar biasa. Terdapat golongan yang beranggapan bahawa tulisan-tulisan yang tidak difahami, rajah-rajah tertentu, angka-angka, huruf-huruf, gambar-gambar berupa manusia atau selainnya boleh menguntungkan perniagaan dan boleh menolong mereka ketika ditimpa kesusahan. Segolongan yang lain pula beranggapan tangkal-tangkal dan azimat boleh menolak bala bencana, menghalau jin, iblis, syaitan, binatang buas dan berbisa serta boleh menjaga keselamtam diri dan kehidupan serta boleh menjadi pelaris perniagaan. Ada golongan yang lain pula percaya kepada keupayaan batu permata kayu kayan dan binatang tertentu boleh membawa tuah dalam kehidupan dan mampu menghindarkan segala bahaya yang menimpa.

Terdapat juga sebahagian dari kalangan kita yang mendewa-dewakan kubur orang tertentu yang telah meningggal dunia serta memohon pertolongan, seperti menyembuhkan sakit, bertemu jodoh dan yang lebih malang lagi memohon nombor ekor.

Amalan-amalan khurafat merupakan amalan yang salah serta bertentangan dengan aqidah dan syariat islam kerana tidak bersumberkan kepada Al-Quran, Hadis, Qias dan ijma' ulama. Ia berdasarkan hayalan semata-mata dan tafsiran yang tidak betul boleh memebawa kepada murtad, syirik dan kufur. Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud "...sesiapa diantara kamu yang murtad dari agamanya lalu dia mati dalam keadaan kafir, maka orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan akhirat serta mereka itulah ahli neraka, mereka kekal didalamnya (selama-selamnya)"

Khurafat muncul dalam pelbagai bentuk mengikut keadaan, antaranya melalui perbuatan tertentu seperti menjamu makhluk dari kalangan jin supaya tidak mendatangkan kemudaratan. Ada juga melalui ungkapan tertentu seperti bacaan jampi mentera yang tidak diketahui maknanya dengan merayu dan memuja jin supaya datang menolong dan bersahabat dengannya. Melalui cerita atau kisah tertentu seperti nenek kebayan yang mempunyai kuasa sakti yang boleh memberi pertolongan dalam apa jua keadaan dan boleh menjelma dalam bentuk perempuan tua atau anak dara.

Amalan khurafat yang diamalkan boleh membawa kerugian, kerosakan dan perpecahan dalam masyarakat Islam jika amalan ini tidak dibanteras sebelum ia merebak lebih luas. Masyarakat tidak akan aman jika terdapat individu yang mengamalkan amalan yang bercangggah dengan syariat islam.

Dipetik daripada Mimbar Jumaat terbitan 19 feb 2010 oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan