Rabu, 10 Mac 2010

Mengharapkan Syafaat Nabi SAW

Syafaat dari segi bahasa bermaksud asy-syafa' (gandaan).Manakala dari segi istilah ialah meminta sesuatu kebaikan daripada yang lain untuk orang lain. Firman Allah dalam surah AL-Baqarah ayat 254 yang bermaksud "wahai orang yang beriman ! Nafkahkanlah sebahagian dari rezeki yang telah kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya suatu hari(hari kiamat) yang tiada jual beli padanya, dan tidak ada persahabatan (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat (tanpa izin daripada Allah) sedangkan orang kafir itulah orang yang zalim."

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bkhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a yang bermaksud "setiap nabi memiliki doa yang mustajab, maka setiap nabi telah menggunakan doa tersebut. Dan aku menyimpannya sebagai syafaat bagi ummatku kelak di hari kiamat maka syafaat tersebut Insya Allah akan didapati oleh setiap orang dari umatku yang mati dalam keadaan tidak menyekutukan Allah Ta'ala dengan suatu apapun."

Allah tidak meredhai orang-orang kafir dan musyrik untuk mendapat apa-apa syafaat pada hari kiamat nanti.Para nabi, ulama, syuhada, dan malaikat dapat memberikan syafaat kepada kita pada hari kiamat kelak. Adapun fahaman yang menyatakan syafaat nabi bukan dari ajaran islam adalah menyalahi pegangan ahl al-assunnah waljamaah.

Antara syafaat nabi ialah mengeluarkan orang-orang islam dari neraka yang melakukan maksiat yang tidak sempat bertaubat sebelum mati. Adapun mereka yang mendapat syafaat adalah dari kalangan orang islam yang melakukan dosa-dosa besar. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban yang bermaksud "Syafaatku adalah untuk umatku yang melakukan dosa-dosa besar".

Nabi Muhammad SAW merupakan orang pertama dari kalangan para nabi yang memberikan syafaat dan diterima syafaatnya di hari akhirat kelak. Baginda juga memiliki al-syafaatul al-uzma iaitu syafaat agung yang dapat memberikan pertolongan kepada semua umat islam pada hari kiamat.

Syafaat tidak akan berlaku kecuali mereka yang beriman kepada nabi Muhammad sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW kepada anaknya Fatimah dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud "Wahai Fatimah binti Muhammad! aku tidak mampu menyelamatkan kamu daripada api neraka jika kamu tidak beriman kepadaku, adapun di dunia aku mampu memeberikan harta kepadamu tetapi di akhirat aku tidak mampu menolongmu jika kamu tidak memeluk agama islam"

Antara langkah untuk mendapatkan syafaat nabi Muhammad ialah
  1. memperbanyakkan selawat keatas nabi terutama pada hari jumaat. Rasulullah bersabda yang diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud "Sesungguhnya hari yang paling mulia bagi kamu ialah hari jumaat, maka perbanyakkanlah berselawat keatasku kerana selawat kamu dibentangkan kepadaku. Sesiapa yang mendengar seseorang menyebut nama nabi Muhammad SAW hendaklah hendaklah terus menyahut Sallahhahualaihiwasallam".
  2. Mencintai Rasulullah lebih dari keluarga, harta dan dunia seisinya. Antaranya ialah dengan kita melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan larangannya.
  3. Sentiasa berdoa kepada Allah dengan berselawat menyebut nama nabi Muhammad SAW inilah hujah bertawassul dengan nama nabi Muhammad SAW dan dakwaan yang mengatakan bahawa bertawassul itu syirik. Dan seafdal-afdal doa yang mustajab kepada Allah dengan berselawat keatas nabi Muhammad SAW.
  4. Menunjukkan rasa kasih kepada nabi Muhammad SAW dengan menghayati sirah dan sunah Rasulullah dan sejarah perjuangannya.
  5. Sentiasa mempertahankan hak dan sifat nabi Muhammad SAW seperti menolak golongan anti hadis dan menghina sunnah Rasulullah.
Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Darul Qutni yang bermaksud "Barangsiapa yang menziarahi kuburku maka wajib mendapat syafaatku"

Sempena dengan bulan Maulidur Rasul ini marilah kita memperbanyakkan berselawat keatas baginda mudah-mudahan kita tergolong dari kalangan umat nabi Muhammad Saw yang mendapat syafaat besar pada hari kiamat kelak.


Dipetik daripada Mimbar Jumaat terbitan 5 mac 2010 oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan