Selasa, 11 Januari 2011

Belia harapan Usamah bin Zaid panglima muda


Belia harapan Usamah bin Zaid panglima muda
Oleh : Ali Hudhaifah Abu Ubaidah
Ancaman yang yang diterima daripada empayar rom pada tahun kesebelas hijrah telah memaksa Rasulullah S.A.W membentuk satu pasukan tentera bagi menyekat ancaman tersebut. Rasulullah SAW telah mengangkat seorang panglima muda yang bernama Usamah bin Zaid bagi memimpin angkatan tentera muslimin. Ketika itu usia Usamah baru mencecah 20 tahun.

Usamah yang dilahirkan tujuh tahun sebelum hijrah merupakan anak kepada Zaid bin harithah bersama Ummu Ayman. Bapanya Zaid merupakan anak angkat Rasulullah SAW dan merupakan diantara orang yang terawal memeluk islam. Ibunya pula merupakan bekas Hamba kepada ibunda Rasulullah SAW serta menjadi pengasuh kepada Rasulullah SAW ketika baginda masih kecil. Kedua-dua ibubapa Usamah merupakan antara orang yang amat disayangi serta paling rapat dengan Rasulullah SAW.

Keperwiraan Usamah mula terselah ketika beliau bersama-sama dengan anak para sahabat datang kepada Rasulullah SAW meminta untuk menyertai perang Uhud, namun Rasulullah menolak permintaan sebahagian mereka termasuklah Usamah sendiri kerana  masih terlalu muda untuk ikut serta dalam peperangan. Usamah menangis kerana keinginannya untuk turut bersama pasukan muslim berjihad fi sabilillah tidak tercapai.

Penolakan itu tidak melunturkan semangat Usamah dan rakan-rakannya. Ketika beliau berusia 15 tahun tercetusnya peperangan Khandaq, sekali lagi beliau bersama rakan-rakannya meminta kebenaran daripada Rasulullah SAW untuk turut serta dalam peperangan tersebut. Melihat kesungguhan beliau Rasulullah SAW berasa kasihan lalu membenarkan beliau menyertai tentera muslimin. Dalam usia yang masih begitu muda beliau tidak gentar untuk menyahut seruan jihad fi sabilillah.

Semasa peperangan Hunain, tentera muslimin telah diserang secara tiba-tiba oleh tentera musysrikin menyebabkan barisan tentera muslimin menjadi goyah dan kucar-kacir, sebahagian tentera muslimin yang terkejut dengan serangan tersebut telah berundur namun Usamah bin zaid bersama dengan beberapa orang sahabat Rasulullah SAW  tetap bertahan bersama-sama Rasulullah SAW.

Didalam peperangan Mu’tah Usamah yang ketika itu berumur lebih kurang 18 tahun telah menyaksikan sendiri bapanya Zaid bin Harithah yang dilantik oleh Rasulullah SAW sebagai ketua panglima gugur sebagai syuhada namun semangat Usamah tidak sedikit pun luntur  dengan meneruskan perjuangan  dibawah Ja'afar bin Abi Thalib sebagai ketua panglima setelah Zaid terkorban seterusnya dibawah Abdullah ibn Rawahah sebagai pengganti Ja'afar setelah Ja'afar turut gugur dalam pertempuran tersebut. Jasad bapanya ditinggalkan di bumi Syam setelah beliau  kembali ke Madinah dengan menyerahkan kematian bapanya kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW telah memberi kepercayaan kepada beliau dengan melantik beliau sebagai panglima angkatan tentera muslimin bagi memerangi tentera Rom yang turut disertai oleh Abu Bakar as- Sidiq, Umar bin Khattab, Sa’ad bin Abi Waqqas, Abu Ubaidah Al- Jarrah, dan para sahabat lainnya. Namun ketika angkatan tentera yang dipimpin oleh Usamah baru berangkat menuju medan peperangan, beliau terpaksa memberhentikan angkatan tersebut dan kembali ke madinah kerana mendapat berita tentang kewafatan Rasulullah SAW .

Apabila Abu Bakar  as-sidiq diangkat menjadi khalifah, beliau membentuk kembali angkatan tentera bagi meneruskan misi Rasulullah SAW dan sekali lagi Usamah dilantik menjadi panglima angkatan tentera muslimin. Selama empat puluh hari  peperangan belangsung, Usamah berjaya memimpin pasukannya mengalahkan lawannya tanpa seorang pun tenteranya terkorban. Dengan kemenangan yang  gemilang, mereka kembali ke Madinah membawa harta rampasan yang banyak  melebihi dugaan. Sehingga, orang mengatakan, “Belum pernah terjadi suatu pasukan bertempur kembali dari medan tempur dengan selamat dan utuh serta berhasil membawa harta rampasan sebanyak yang dibawa pasukan Usamah bin Zaid.”
 Usamah bin Zaid meninggal dunia pada tahun 53 H / 673 M pada masa pemerintahan khalifah Mu’awiyah dari kerajaan bani umayyah. Usamah bin zaid amat dihormati kerana keperibadian serta keberaniannya sehingga Khalifah Umar al-khattab Apabila bertemu dengan Usamah, menyapa dengan ucapan, “Marhaban bi amiri!” (Selamat, wahai komandanku). Jika ada orang yang heran dengan sapaan tersebut, Umar menjelaskan, “Rasulullah pernah mengangkat Usamah menjadi komandan saya.”

rujukan
2.     Sayap dari Syurga terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan